“Maafkan Zeti, mak!” rintih Zeti. Kenangan silam menjelma silih berganti dalam ingatannya. Walaupun kini dia sudah berubah dan berjaya menjadi peguam, namun kenangan 5 tahun lalu masih segar dalam ingatannya.
“Zeti, kamu ni bila nak bertudung? Kamu harus ingat, sebagai seorang perempuan muslim, kamu harus jaga aurat kamu,” nasihat Mak Lijah lembut.
“Mak Lijah juga harus sedar yang Mak Lijah tu sekadar orang gaji dalam rumah ni. Mak Lijah juga janganlah pandai-pandai nak tunjuk ajar saya sebab saya masih ada mak bapak!” tengking Zeti.
Dia bergegas mengambil kunci motor dan menunggang laju menuju ke sekolah.
“Sorrylah geng! Aku lambat, ada pengacau dalam rumah aku tadi. Macam mana rancangan malam ni? Aku dah tak sabar dah ni!” gesa Zeti.
“Alah engkau ni, cuba bawa bertenang. Engkau jangan risau, semua member kita dah setuju nak race sama-sama. Engkau tahu, ramai awek cun datang malam nanti!” potong Edie.
“Hei budak! Engkau orang buat apa berkumpul pagi-pagi buta ni? Kamu semua tak dengar loceng dah berbunyi? Sebelum saya ambil tindakan, baik kamu semua masuk ke kelas!” tengking cikgu Haizan, guru disiplin di sekolah itu.
Mereka bergegas meluru ke kelas masing-masing.
Malamnya, Zeti tergesa-gesa hendak keluar.
“Zeti mahu pergi mana ni, nak?" tanya Mak Lijah lembut.
“Mak cik, mak cik boleh tak jangan panggil saya anak. Saya ni bukan dan tak nak jadi anak mak cik,” tegas Zeti.
“Zeti! Kenapa kurang ajar sangat ni? Kamu sebagai orang muda patut hormat kepada Mak Lijah yang lebih tua daripada kamu,” tengking ayahnya, Datuk Mansur.
Zeti hanya tunduk ke lantai. Dia cuba untuk tidak bertengkar dengan ayahnya kerana bimbang ayahnya tidak mengizinkannya keluar malam itu.
“Kamu nak berlumba lagi ya?” tanya Datuk Mansur.
“Saya nak pergi belajar di rumah Edie. Tak kan itu pun tak boleh. Kalau ayah tak percaya, nah tengok dalam beg Zeti ni, penuh dengan buku.”
“Apa yang ayah nak, sebelum pukul 12 tengah malam nanti kamu mesti ada di rumah,” pinta ayahnya.
Tatkala mendengar ayahnya berkata begitu, Zeti terus mencapai kunci motor. Hatinya melonjak gembira kerana entah kali keberapa Datuk Mansur dapat ditipunya. Di luar kedengaran enjin motor menderu membelah kegelapan malam.
Esoknya di tapak perhimpunan, cikgu Haizan menyebut satu per satu nama Zeti dan kawan-kawannya. Anehnya, mereka sedikit pun tidak berasa malu.
Di pejabat, mereka menerima syarahan daripada pengetua. Uargh... Zeti sengaja menguap tanpa rasa takut. Dia bosan menerima syarahan yang sama berulang kali.
Sesampai sahaja di rumah, ibu bapa Zeti sudah sedia menunggu di ruang tamu. Zeti dapat rasakan sesuatu yang buruk akan berlaku. Belum sempat Zeti melangkah ke bilik, dilihat ayahnya bingkas bangun.
“Zeti! Kamu ke mana malam tadi hah?” tengkingan ayahnya membuatkan Zeti terkejut.
“Saya... pergi belajar.”
“Dengan ayah pun kamu nak menipu! Ayah malu dengan sikap kamu. Kenapa Zeti? Kenapa engkau buat ayah macam ni?" Air mata mula bergenang di kelopak mata ayahnya.
“Zeti, kamu tak kesiankan ayah dan mak ke? Cuba kamu berterus terang dengan mak,” pinta ibunya sayu.
“Ya, memang malam tadi saya berlumba haram. Kenapa, salah ke? Mak dan ayah harus tahu kenapa saya jadi begini. Mak dan ayah langsung tak pedulikan saya. Saya kesunyian. Kerjaya lebih penting daripada saya. Mak biarkan saya membesar dengan belaian orang tua hina ni!
Pang...! Pelempang ayah hinggap di pipi Zeti. Zeti terperanjat dengan tindakan ayahnya lalu dia berlari menuju ke biliknya.
“Maafkan kami Mak Lijah, kami gagal untuk membentuk Zeti menjadi orang yang berguna,” ujar Datin Salbiah lalu memeluk Mak Lijah.
Keesokkan paginya, Zeti mendapati ada nota di atas meja makan. Nota itu dibacanya.
Zeti,Ayah akan kawal kebebasan kamu selama sebulan. Kamu tidak boleh keluar rumah kecuali ke sekolah. Motor kamu ayah kuncikan di garaj. Kamu belajarlah ke sekolah menaiki bas. Petang nanti abang saudara kamu akan datang dan tinggal di rumah kita. Dia akan menjadi guru tuisyen kamu selama sebulan. Harap kamu jaga tingkah laku kamu di depan dia.Ayah.
Nota itu direnyukkan dan dibuangnya ke dalam tong sampah. Dua hari berlalu bagaikan dua tahun Zeti terkurung di rumah itu. Dia sudah jenuh mendengar nasihat dan tunjuk ajar abang Azri.
Malam itu Zeti nekad untuk mencuri kunci motor. Hajatnya tercapai apabila dia berjaya keluar rumah dengan motor kesayangannya.
Kring... Kring...
“Hello, boleh saya bercakap dengan Datuk Mansur?”
“Maaf encik, Datuk Mansur tidak ada di rumah. Ada apa hal, encik?”
“Saya dari Hospital Tawakkal. Shazeti anak datuk terlibat dalam kemalangan jalan raya. Hatinya rosak teruk.”
“Ya Allah! Anak aku...!” Jerit Mak Lijah. Dia bergegas memberitahu Datin Salbiah, lalu mereka berdua berkejar ke hospital.
Zeti membuka kedua-dua belah matanya perlahan-lahan. Dilihatnya ibu, ayah dan abang Azri. Dia sudah berada di rumah. Menurut ibu, Zeti terlantar di katil selama sebulan.
Seminggu kemudian Zeti sudah pulih seperti sedia kala. Dengan bantuan abang Azri, Zeti sudah mula berubah. Dia sudah pandai memakai tudung.
“Mak, boleh tanya sesuatu? Di mana Mak Lijah?”
Wajah ibunya yang manis tiba-tiba berubah.
“Zeti, nampaknya sudah sampai masanya Zeti mengetahui hal yang sebenar. Mak Lijah adalah ibu kandungmu sayang. Ayahmu meninggal ketika kamu masih bayi. Mak Lijah memberikanmu kepada mak dan mak mengambilnya sebagai orang gaji,” terang ibunya, sayu
Zeti terkesima.
“Tapi, di mana dia sekarang, mak?” tersedu-sedu Zeti merayu.
“Dia menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika pemindahan hatinya kepada kamu.”
Zeti terjelepuk. Dia menangis mengenangkan dosanya kepada Mak Lijah, ibu kandungnya.
“Sudahlah Zeti, yang pergi tetap akan pergi. Kita hanya berserah kepada Allah. Sebelum pergi Mak Lijah ada tinggalkan bungkusan ini kepada kamu,” pujuk Datin Salbiah.
Zeti membukanya, terdapat baju kurung berwarna kuning lalu Zeti menciumnya. Ada sepucuk surat di dalam bungkusan itu. Dia lalu membacanya.
Anakku,Hanya inilah yang dapat ibu berikan kepadamu tanda kasih sayang ibu terhadapmu. Ibu maafkan segala salah silap Zeti. Ibu harap Zeti cepat berubah.Ibumu.
Petang itu Zeti menziarahi pusara ibunya. Rupa-rupanya baju kurung pemberian ibunya akan dipakai ketika menziarahi kuburnya.
Dalam hati Zeti merintih. “Maafkan Zeti, Mak.”
Petikan: Minda Pelajar
6.22pm
4/10/2010